
MEKAH 30 Nov. – Ibadah haji musim ini sampai ke penghujungnya hari ini tanpa meletusnya wabak selesema babi yang sebelum ini dikhuatiri mengancam tiga juta jemaah yang menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pihak berkuasa Arab Saudi berkata, hanya lima kematian dan 73 kes dijangkiti virus influenza A (H1N1) itu dilaporkan.
Menteri Kesihatan Saudi, Abdullah al-Rabeeah berkata, lima jemaah meninggal dunia akibat virus itu, yang turut menghidapi penyakit kronik yang lain, tetapi di kalangan jemaah lain tidak timbul masalah kesihatan serius.
Jemaah yang meninggal dunia itu terdiri daripada empat warga emas berusia 70-an dari India, Maghribi, Pakistan dan Sudan, serta seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dari Nigeria.
“Dengan sukacitanya saya mengumumkan ibadah haji 2009 berlangsung tanpa sebarang wabak penyakit,” kata menteri itu yang dipetik oleh agensi berita rasmi, SPA.
Dengan kerjasama pihak berkuasa kesihatan antarabangsa, Arab Saudi melancarkan kempen bersepadu untuk mengurangkan ancaman wabak itu ke tahap minimum dengan mengerahkan 20,000 pekerja kesihatan semasa musim haji ini.
Ibadah haji tahun ini berlangsung hampir tanpa sebarang masalah, kata pegawai Saudi, berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila berlaku insiden rempuhan yang membawa maut dan pergaduhan dengan jemaah dari Iran.
Berjuta-juta jemaah kali ini juga dapat bergerak dengan lebih selesa dengan siapnya jambatan lima tingkat yang direka bagi mengelakkan kesesakan semasa menunaikan ibadah melontar di ketiga-tiga tiang jamrah di Mina.
Kira-kira 2.3 juta jemaah asing yang selesai menunaikan tuntutan haji mengambil kesempatan membeli-belah di kota suci Mekah, sebelum berlepas pulang ke negara masing- masing.
Lebih sejuta daripada mereka dijangka berlepas balik menerusi lapangan terbang dan pelabuhan di Jeddah, pintu masuk utama ke Mekah yang dilanda hujan lebat dan banjir kilat pada Rabu lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan