Bertaubatlah golongan perasuah
SERINGKALI terjadi perbuatan rasuah atau tumbuk rusuk di kalangan masyarakat kita yang melibatkan kakitangan kerajaan dan swasta. Seolah-olah perbuatan rasuah menjadi budaya dan permainan oleh mereka yang terlibat.
Jika perbuatan ini tidak dibedung segera oleh pihak-pihak berwajib, besar kemungkinan ia menjadi penyakit yang merbahaya bagi bangsa dan negara. Apa lagi negara kita Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang berdaulat dan masyhur di kalangan antarabangsa.
Adapun dosa yang dilakukan oleh perasuah atau koruptor termasuk ke dalam kategori dosa besar kerana berkaitan dengan Tuhan dan juga manusia. Justeru itu taubat yang mereka lakukan hendaklah serius dan bersungguh-sungguh (nasuha), jangan taubat daun keladi, taubat nak buat lagi.
Jika demikian, taubat mereka akan ditolak. Kes ini kerana perbuatan korupsi atau rasuah yang mereka perbuat melibatkan kebesaran Tuhan dan nasib manusia serta negara.
Kaitan dengan Tuhan, kerana mereka mempermainkan nama kebesaran-Nya dengan berikrar janji dan sumpah setia ketika melaksanakan solat, di mana hidup dan mati mereka adalah untuk Allah.
Sedangkan yang dimaksud dengan sumpah palsu ialah menggunakan nama Allah untuk tidak mengambil yang bukan hak milik mereka. Inilah perasuah yang dikatakan sebagai musuh Tuhan, musuh negara, dan musuh manusia.
Adapun kaitannya dengan manusia, kerana justeru mereka merampas hak-hak orang lain dengan mengambil yang bukan hak mereka secara sebenarnya.
Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu memakan harta benda di antara kamu dengan cara yang batal (salah), dan kamu ajukan perkara itu kepada penguasa (pemerintah) dengan maksud supaya kamu makan sebahagian harta orang lain dengan dosa, pada hal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188).
Di antara memakan harta dengan cara yang tidak halal itu ialah rasuah. Dalam konteks ini Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukum."(riwayat Ahmad, Termizi, Ibnu Hiban).
Melihat kes ini, maka taubat para pelaku rasuah perlu dilakukan secara serius melebihi taubat orang-orang yang melakukan dosa biasa. Hal ini perlu dilakukan, kerana mereka dianggap sebagai orang-orang yang tidak pernah mengerjakan ibadat.
Kosongnya ibadat yang dilakukan oleh para perasuah kerana diri mereka masih berlumuran dengan dosa dan sebagai penghisap darah ummah.
Mekanisme taubat para perasuah yang berkaitan dengan Tuhan, pastilah dengan penyesalan yang sungguh-sungguh dan tulus. Hal ini kerana para perasuah pernah mempermainkan nama kebesaran dan keagungan Tuhan.
Maka mereka mesti mengembalikan reputasi kebesaran Tuhan dengan melakukan ibadat-ibadat secara berterusan dan melakukan dengan cara yang bersih zahir dan batin.
Dalam konteks kebersihan ini, Rasulullah SAW memberikan isyarat dalam hadis yang digambarkan tentang seseorang yang sibuk mengerjakan ibadat sehingga rambutnya tidak sempat disisir.
Orang itu setiap saat menadahkan tangannya ke langit memohon kepada Tuhan hal-hal yang diinginkannya. Tetapi setelah diperiksa ternyata makanan, minuman, dan pakaiannya didapati dari sesuatu yang haram. Bagaimana mungkin Tuhan menerima ibadat orang-orang yang berwatak seperti itu.
Ada pun, taubat para perasuah yang berkaitan dengan manusia, hendaklah mengembalikan harta-harta mereka yang telah dirasuah. Jika hal ini diteruskan rasuah, bererti dosa perasuah mesti dipertanggungjawabkan kepada semua orang yang terlibat dan juga termasuk harta negara jika kes itu termasuk di dalamnya.
Selama harta yang yang dirasuah itu tidak dikembalikan kepada pihak berkenaan, maka selama itu pula taubat para perasuah akan ditolak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan