ALLAH melaknat mereka yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya," (riwayat Ahmad)
Sebuah hadis yang menunjukkan bahawa perbuatan rasuah adalah sangat dikutuk keras oleh Allah dan Rasul-Nya.
"Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka". (riwayat At Tirmidzi)
Maka timbul persoalan mengapa tidak lakukan pendekatan lebih manusiawi melalui program-program latihan atau pendidikan moral/akhlak khusus diberikan kepada kakitangan awam atau kepada mereka yang selama ini amat terdedah kepada rasuah.
Namun yang lebih menimbulkan persoalan para rasuah adalah terdiri daripada kakitangan awam dan mereka yang berkelulusan tinggi dan berpendapatan tinggi juga?
Malah ramai di kalangan ini mereka sudah menunaikan haji dan melakukan umrah berulang kali. Namun mengapa perlu rasuah?
Hukuman paling berat kepada pelaku rasuah selama ini adalah penjara. Itu andainya dapat dikesan dan dibawa kepada pengadilan?
Namun dahulunya penjara tempat yang paling menakutkan, kini ia berubah fungsi menjadi rumah persinggahan yang aman.
Antara sebabnya, sudah ramai banduan yang berlatar belakang kalangan orang yang terhormat.
Namun jika anda melakukan rasuah, pastinya anda tidak akan dapat tidur sepanjang malam, tidak akan pernah lena malah diganggu juga dengan pelbagai mimpi yang kurang enak, hatta gambaran seksaan tuhan atas perbuatan munafik itu.
Sebagai pelaku rasuah itu juga anda akan diburu rasa bersalah kerana akibat perbuatan keji ini telah menyebabkan rakyat yang lain, yang tidak bersalah mengalami penderitaan lahir dan batin.
Sudahlah hidup serba kekurangan dengan pendapatan yang tidak pernah bertambah walaupun sekuat mana usaha dan kudrat ditumpahkan untuk mencari rezeki di jalan yang halal. Namun akibat rasuah, harga barangan keperluan hidup melambung tanpa ada sebarang alasan yang masuk akal.
Semakin teruk apabila diburu juga perasaan takut apabila malaikat maut menjemput pergi di saat harta rasuah melimpah dalam simpanan yang haram. Sempatkah anda bertaubat?
Sedangkan Rasulullah pernah berpesan: "Seseorang yang hanya menyembunyikan hatta sebatang jarum yang bukan miliknya atau sejengkal tanah yang diambil secara paksa daripada pemiliknya pasti hukuman berat menanti di akhirat kelak"
Dibalun dan dibakar yang raungan tidak akan mendapat simpati penjaga neraka.
Akan rasa bersalah juga kepada pelaku rasuah bahawa memberikan hasil rasuah sebagai sumber rezeki kepada dirinya, ahli keluarga terutama anak-anak dan kemudian larut dalam tubuh mereka, maka menjadi darah yang haram; bukankah itu bererti si orang tua itu telah memberikan jalan kepada syaitan dan iblis untuk memasuki di segenap urat saraf di anak?
Lalu apabila al-Quran dirujuk dan dihayati akan isi kandungannya, maka terjumpalah kita akan ayat yang sangat indah dan mampu mengekang sebarang perlakuan jenayah terutamanya rasuah itu sendiri, iaitu surah an-Nisaa' ayat 146-147 yang bermaksud: Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.
Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmat-Nya) serta kamu beriman (kepada-Nya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepada-Nya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).
Tidak cukup al-Quran, ambillah pengajaran daripada hadis Rasulullah yang menyebut; Ciri-ciri orang yang disebut munafik itu ada tiga, apabila berkata-kata dia berdusta, apabila berjanji dia mungkir dan apabila diberikan amanah, dia mengkhianatinya (sekalipun dia mengaku solat, berpuasa dan mengaku mukmin). (riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah sebenarnya bimbang mengenai gejala rasuah ini, lalu antara jalan keluar yang baginda sarankan sebagaimana hadis bermaksud: "Barang siapa yang diberikan suatu jawatan sedang dia tidak mempunyai rumah, maka berikan rumah untuknya, apabila tidak mempunyai isteri, maka kahwinkan dia, apabila dia tidak mempunyai pembantu, maka berikanlah dia pembantu dan apabila tidak mempunyai kenderaan, maka sediakanlah kenderaan untuknya. Kerana barang siapa yang mengambil sesuatu selain itu, maka dia adalah pengkhianat". (riwyaat Ahmad)
Kebimbangan baginda itu sangat berasas kerana definisi rasuah itu adalah sebagaimana Rasulullah sebutkan dalam hadis: "Barang siapa yang kami angkat menjadi pegawai dengan tugas-tugas tertentu dan telah kami berikan upah sebagaimana yang semestinya maka apa yang dia ambil luar daripada apa yang telah diberikan, itu namanya pengkhianatan (rasuah)". (riwayat Abu Daud).
Tahukah anda, Rasulullah sendiri seorang pemimpin yang juga sangat terdedah kepada pelbagai tawaran untuk melakukan rasuah? Namun baginda amat menjaga dirinya daripada terjerumus ke kancah yang sangat keji ini kerana antaranya doa orang melalukan rasuah tidak akan pernah dikabulkan Tuhan. (At-Taubah: 80)
Pelbagai kisah diceritakan bagaimana baginda menahan dirinya dari perbuatan rasuah. Ini termasuklah baginda puteri kesayangan baginda, Fatimah Az Zahra memohon daripada ayahandanya untuk meminjam salah seorang wanita tawanan untuk membantunya menguruskan hal-hal rumah tangga disebabkan Fatimah sendiri tidak sihat.
Permintaan itu serta merta ditolak oleh Rasulullah dengan alasan bahawa tawanan harus ditebus terlebih dahulu untuk kepentingan pendapatan negara. Atau mungkin sebenarnya wanita itu layak dibebaskan.
Buku ini benar-benar secara ilmu dan motivasi untuk mengekang masalah rasuah yang kian membarah di kalangan umat Islam itu sendiri.
Penulis menulis ayat-ayatnya dengan bijaksana yang mampu memberikan sentuhan kepada sanubari pelaku rasuah agar mereka boleh dikembalikan ke pangkal jalan.
Disertakan juga amalan-amalan ibadat termasuk beristighfar sehinggalah mengambil air sembahyang yang jika diamalkan dengan cara yang betul dan difahami falsafah di sebaliknya maka si pelaku rasuah akan kekal dalam taubatan nasuha dan tidak akan menoleh sedikit pun terhadap apa juga peluang rasuah yang terbentang di hadapan mata.
Bagaimana untuk mendapat solat yang khusyuk dan hati yang bergetar dengan zikir-zikir terhadap Allah turut penulis tekankan untuk membebaskan umat Islam dari khianat, korup dan rasuah.
Justeru, laporan berita baru-baru ini mengenai sebuah jabatan kerajaan yang para pegawai dan kakitangan dipercayai melakukan rasuah sehingga bernilai berbilion ringgit, merupakan satu panggilan jihad untuk memerangi rasuah.
Mungkin bermula dengan memiliki buku yang sebaik ini untuk membukakan dengan seluas-luasnya minda dan pemikiran yang selama ini tidak sahaja tertutup atau sempit, tetapi kita tidak guna untuk berfikir pun!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan