Pertama ialah Ulang Tahun Keputeraan Sultan Selangor (11 Disember), kedua, hari pertama dalam permulaan kalendar baru Hijrah (18 Disember) dan ketiga ialah Hari Natal (25 Disember).
Hari Jumaat adalah penghulu segala hari, dan banyak keberkatan yang boleh diambil bagi membolehkan kita mendapat pahala yang lebih. Sebagai permulaan hari, pada hari Jumaat sebenarnya setiap orang Islam berada dalam kemuliaan dan sentiasa dalam kesucian.
Pahala dilipatgandakan pada hari Jumaat, dan kerana itulah banyak yang dengar, disunatkan membaca Yaasin pada malam Jumaat, diwajibkan bersembahyang Jumaat secara berjemaah, disunat bersama isteri sepanjang malam Jumaat, disunatkan bermandi pada hari Jumaat dan disunatkan berpagi-pagi ke masjid untuk mendapat ganjaran yang lebih besar.
Sebagai seorang Muslim, kita perlulah memperkuatkan azam untuk meningkatkan amal ibadah kita pada hari-hari akan datang. Ini tidak pula bermakna, sebelum tibanya tahun baru, kita tidak perlu melakukan amalan yang baik-baik dan bersesuaian dengan Islam. Tidak pula bermakna, semasa malam menyambut tahun baharu kita perlu melakukan sesuatu yang kurang berbudaya luhur dan mengetepikan nilai moral.
Ada orang menyambut ketibaan tahun baru dengan pesta dan majlis tari menari. Sambutan sedemikian bukanlah sesuatu yang perlu kita galakkan, kerana dalam Islam, pada malam tahun baharu seharusnya kita melipatgandakan ibadat mensyukuri nikmat Allah SWT. Sekurang-kurangnya berterima kasih kerana diberikan rezeki dan umur yang panjang sehingga kita boleh melangkah ke tahun baharu.
Kita dianjurkan melakukan refleksi: melihat masa lalu bertujuan mengambil iktibar, manfaat, perhitungan, serta melihat ke depan untuk menyiapkan bekalan hari esok. Dalam hal ini Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Orang mukmin itu tidak terikat kecuali oleh tiga masa; membekali diri untuk kembali ke Akhirat, berjuang untuk kehidupan dunia dan menikmati apa yang tidak di haramkan."
Ketika memasuki tahun baharu, kita perlu merenung segala hikmah dan pengajaran yang boleh dipetik daripada apa yang berlaku khusus tentang musibah yang sering kali menimpa kita. Musibah yang berlaku pada tahun 2009, kita jadikan sempadan kerana sebahagiannya disebabkan oleh kelalaian kita sendiri.
Tragedi bas dua tingkat yang mengorbankan 10 nyawa beberapa hari lalu adalah kerana kecuaian manusia. Memang ia satu takdir yang menuntut kita mengembalikan segala sesuatu kepada Allah SWT. Supaya kita lebih tenang kembali. Seharusnya kita menjadi orang yang memiliki satu sikap yang tenang dengan suatu penguasaan peribadi yang tetap utuh. Semua musibah yang menimpa kepada orang-orang mukmin dengan maksud untuk mengangkat darjatnya dan sebagai tanda kasih sayang-Nya.
Sempena Tahun Baharu 2010 ini kita bermuhasabahlah agar peribadi kita menjadi semakin kuat dan diselubungi dengan sifat-sifat baik serta sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah SWT dan teladan yang dibawa oleh Rasullullah SAW, insan terbaik yang pernah dihadirkan untuk menjadi petunjuk kepada manusia.
Kita juga mungkin terfikir apakah setiap langkah telah kita ambil itu selaras dengan 'sumpah dan ikrar' terhadap Allah SWT. Kita bertanya kepada diri kita sendiri: apakah kita telah melalui jalan yang benar, yang menepati petunjuk keredaan-Nya dan amalan yang kita galas itu menepati konsep ketakwaan dan keikhlasan.
Apakah kita telah menunaikan hak-hak Allah dan hak-hak hamba Allah yang diamanahkan kepada kita sebagaimana kita selalunya tamak untuk mendapatkan hak-hak sendiri, dan membuat perbandingan pula dengan senarai kebaikan yang kita lakukan. Dari dua belahan nilai itu, manakah yang lebih berat?
Meskipun hanya sekelumit noda, kita tidak seharusnya lupa noda itulah yang akan menyebabkan manusia dilanda kehancuran. Musibah yang melanda, tentunya ada kaitan dengan apa yang kita lakukan. Untuk tahun baharu, kita sentiasa mengharapkan kehidupan yang kita hadapi itu sentiasa diberkati dan diberikan perlindungan oleh Allah SWT.
Kehidupan yang berkat adalah kehidupan yang sentiasa berada dalam panduan hidayat dan keredaan Allah SWT. Suatu kehidupan yang mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk memecahkan setiap persoalan yang datang menimpa.
Keberkatan hidup juga tercermin dari perilaku manusia yang terus berusaha mencari rezeki secara halal, dan menjauhkan diri dari segala nilai-nilai khurafat, hasad dengki dan buruk prasangka. Ia sentiasa berzuhud dan menyerahkan segalanya secara bertanggungjawab dan amanah.
Pada hakikatnya paling tidak ada dua alasan utama yang menyebabkan keberkatan hidup itu hilang atau telah diangkat oleh Allah SWT: Pertama, jika umat manusia telah menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya, tanpa mempedulikan apakah cara yang ditempuhinya benar ataukah salah dalam pandangan Islam.
Misalnya, banyak orang berlumba mengejar pangkat tanpa mengendahkan apakah caranya itu betul dan selaras dengan prosedur? Apakah jawatan yang diraih itu benar-benar menepati dengan kebolehan dan kemahirannya atau di sebaliknya.
Apakah tujuan sebenarnya seseorang itu amat memerlukan jawatan tersebut? Bak kata pepatah, mungkin ada udang di sebalik batu kerana dengan kedudukan tersebut dia boleh melunaskan cita-cita peribadi? Atau jawatan itu menjadi batu loncatan untuk terus mengumpul kekayaan tanpa menghiraukan orang lain? Atau digunakan untuk mengumpul kekuatan pengaruh bagi menguasai pihak yang lain, membentuk hegemoni kuasa dan pengaruh peribadi.
Kedua, umat Islam telah meninggalkan kegiatan amar makruf nahi munkar. Betapa banyak orang yang mengaku beragama Islam tetapi perilakunya menunjukkan hal yang sebaliknya. Demikian pula ketika muncul seruan dari sejumlah ulama yang memfatwakan haramnya riba dan pornografi, banyak orang yang mengaku Muslim menentangnya dengan dalih kebebasan asasi.
Perilaku inilah yang sebenarnya digambarkan Allah SWT: "Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh berbuat yang munkar dan melarang berbuat yang makruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah lupa kepada Allah SWT, maka Allah SWT lupa kepada mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itulah orang-orang yang fasik" (Al-Taubah [9]:67).
Jika hal ini masih terus dan selalu terjadi, tentunya keberkahan hidup hanyalah akan menjadi sebuah impian. Semoga kita menyedari akan hal ini dan berusaha untuk selalu memperbaikinya.
Rasulullah SAW bersabda, "Jika umatku terlalu mengagung-agungkan dunia, maka kehebatan Islam akan diangkat dari umatku. Dan jika mereka meninggalkan amar makruf nahi munkar, maka keberkatan wahyu akan terhalang" (HR Abu Dawud).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan