BUKU ini menjadikan kandungan surah al-Fatihah sebagai topik utama perbincangan. Al-Fatihah walaupun hanya mengandung tujuh ayat tetapi ia membawa mesej yang cukup besar.
Al-Quran merupakan himpunan dan rumusan bagi keseluruhan wahyu yang pernah diturunkan kepada para Nabi dan Rasul terdahulu. Al-Fatihah pula merupakan himpunan dan rumusan bagi keseluruhan kandungan al-Quran. Penempatannya di urutan pertama di dalam susunan surah-surah al-Quran memberikan keagungan yang tersendiri kepada surah ini. Hal ini dikukuhkan dengan kewajipan membacanya di dalam setiap rakaat solat.
Bahkan, setiap ayat yang dibacakan setelah al-Fatihah memperlihatkan kaitan yang erat sehingga keutamaan al-Fatihah menjadi begitu menyerlah.
Walaupun buku ini menjadikan al-Fatihah sebagai topik utama pembahasan, penulis tidak menjadikan buku ini berunsur kajian tafsir. Ini kerana tafsiran al-Quran memiliki disiplin yang khusus.
Penulis berusaha di dalam buku ini untuk mengungkapkan kandungan al-Fatihah dengan persembahan gaya bahasa dan bentuk penyampaian yang ringan. Harapannya, ia menjadi sebuah bacaan yang tidak hanya menyapa minda tetapi turut juga menyentuh hati.
Demi menghadirkan gambaran nyata bagaimana sepatutnya setiap insan berinteraksi dengan kalamullah, penulis menyelitkan kisah-kisah kehidupan yang ringkas.
Kisah-kisah pendek ini diusahakan menjadi sarana yang dapat menjelaskan sudut pandang al-Quran mengenai suatu situasi dalam episod kehidupan.
Bab 1 : Isti'azah (A'uzubillahi minassyaithanirrajim)
Bab 2 : Basmalah (Bismillahirrahmanirrahim)
Bab 3 : Alhamdulillahi rabbil 'alamin
Bab 4 : Arrahmanirrahim
Bab 5 : Maliki yaumiddin
Bab 6 : Iyyaka na'bud wa iyyaka nasta'in
Bab 7 : Ihdinasshiratal mustaqim
Bab 8 : Shirathallazina an'amta 'alaihim
Bab 9 : Ghairil maghdhubi 'alaihim waladdhallin
Bab 10 : Al-Fatihah
Secara kesimpulannya ada empat perkara utama yang patut mendapat renungan.
Pertama, mengenai perkenalan Allah sebagai Tuhan. Kedua, pemberitahuan bahawa manusia memiliki peranan, tugas dan matlamat di dalam kehidupan ini. Ketiga, permohonan kepada Sang maha segala maha agar diberi petunjuk agar manusia dapat memainkan peranan, menjalankan tugas dan mencapai matlamat dengan sebaiknya.
Keempat, selain dari usaha bersifat doa, manusia juga perlu memperluaskan usaha dengan mengkaji bagaimana mereka yang Allah beri nikmat kehidupan ini dan bagaimana mereka yang mendapat murka dan kemarahan Allah dalam kehidupan ini.
Demikian dapat menjadi kayu ukur dan garis panduan bagi manusia dalam kehidupan ini.
Empat perkara di atas menjadi faktor utama yang akan membantu setiap insan menyusun struktur perasaan dan fikiran mereka dalam setiap situasi yang dialami. Mereka yang mampu merenung empat perkara utama itu akan sampai kepada penilaian terhadap situasi dari beberapa sudut.
Pertama, dari sudut Allah selaku yang Maha Kuasa. Kedua, dari sudut dirinya sebagai hamba. Ketiga, dari sudut bagaimana kesungguhan memohon petunjuk Allah, berusaha mencari petunjuk Allah dan menggantung harap kepada-Nya. Keempat, mengkaji pengalaman mereka yang terdahulu dalam mengharungi situasi serupa.
Dengan demikian setiap insan dapat melihat dengan jelas struktur perasaan dan fikiran yang rapi sesuai dengan apa yang dikehendaki Allah.
Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang mampu menyusun struktur perasaan dan fikiran sehingga membantu kita untuk meraih segala yang baik dan menjauhkan diri daripada segala yang buruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan