Cuti persekolahan hujung tahun sememangnya merupakan waktu yang amat dinanti-nantikan oleh sebahagian ibubapa dan juga semua anak-anak yang bersekolah. Ini adalah kerana waktu ini para ibubapa sudah merancang percutian anak-anak mereka sama ada untuk pergi melancong, berkelah, pulang ke kampung halaman dan sebagainya. Perkara-perkara seperti ini jika dirancang dan dilakukan mengikut lunas-lunas Islam sudah tentu memberikan banyak kebaikan kepada anak-anak disamping dapat mengeratkan hubungan silaturrahmi sesama keluarga dan saudara-mara. Islam sebagai agama persaudaraan amat menekankan betapa pentingnya hubungan persaudaraan sesama insana sebagaimana firman Allah dalam surah Ar-Ra'd ayat 21:
Isu-isu berkaitan perlakuan negatif di kalangan pelajar sejak kebelakangan ini sudah semakin hangat diperkatakan dan amat membimbangkan banyak pihak. Budaya berjinak-jinak dengan rokok di kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa. Gejala merempit juga didapati berlaku di kalangan mereka sehingga sebahagian daripada mereka ditangkap oleh pihak berkuasa. Tidak kurang pula pelajar-pelajar yang suka melepak di kaki-kaki lima mahupun di pusat-pusat membeli-belah sama ada pada waktu persekolahan apatah lagi pada hujung-hujung minggu. Perkara ini sekiranya dibiarkan berlarutan sudah tentu akan mendatangkan kesan yang amat buruk kepada generasi yang akan datang.
Rasulullah S.A.W. telah bersabda:
Kini, kita dapati pelbagai pihak telah berusaha melaksanakan program-program motivasi dan peningkatan jati diri kepada anak-anak remaja yang masih di alam persekolahan, sama ada oleh individu-individu, Badan-badan NGO mahupun agensi-agensi kerajaan. Menjelang cuti persekolahan ini juga kita dapati bermacam-macam program ditawarkan dan disediakan untuk anak-anak mengisi cuti persekolahan mereka. Ianya secara tidak langsung dapat membantu para ibubapa yang tidak berkesempatan merancang cuti persekolahan anak-anak mereka disebabkan bebanan kerja, kesibukan berniaga dan lain-lain dengan aktiviti yang berfaedah dan berguna untuk anak-anak. Antara aktiviti yang ditawarkan sepanjang cuti persekolahan ini adalah;
Pertama : Kem Motivasi Pelajar.
Kedua : Program Hafaz Al-Quran.
Ketiga : Program belajar Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.
Keempat : Program Khemah Ibadah.
Kelima : Program Usrah Pelajar.
Keenam : Program Daurah di masjid-masjid terpilih anjuran JAIS dan lain-lain.
Program-program sebegini seharusnya diambil peluang oleh para ibubapa supaya melibatkan anak-anak yang sedang dalam cuti persekolahan, agar cuti yang mereka lalui akan lebih bermakna.
Ibubapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membentuk keperibadian anak-anak mereka. Anak-anak adalah amanah Allah S.W.T yang mesti dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 28:
Kita menyeru kepada semua pihak seperti Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), masjid-masjid dan sekolah-sekolah agar memainkan peranan yang lebih pro-aktif setiap kali menjelangnya cuti persekolahan. Mereka boleh merancang program-program yang serupa sebagaimana yang dijalankan oleh Badan-badan NGO atau yang lainnya. Pihak PIBG tentu menyedari bahawa tidak semua ibubapa berkemampuan menghantar anak-anak mereka ke program-program anjuran pihak-pihak swasta kerana memerlukan kos yang agak tinggi. Justeru PIBG dengan bantuan pihak sekolah, pihak Jabatan Pelajaran mahu pun orang ramai bolehlah merancang suatu program yang bermanfaat di sepanjang musin cuti persekolahan.
Pada masa ini, program seperti SPIES, Daurah dan Tunas Ilmuan Negeri Selangor ketika ini juga sebenarnya telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada pembinaan sahsiah anak-anak kita. Dengan ini, cuti persekolahan yang dilalui oleh pelajar-pelajar sekolah akan menjadi lebih bermakna.
Sesungguhnya tanggungjawab dan peranan kita sebagai ibubapa amatlah besar terhadap anak-anak yang merupakan amanah daripada Allah S.W.T. Namun masa yang diberikan untuk menunaikan tanggungjawab ini adalah amat terbatas. Al-Syahid Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan bahawa kewajipan kita adalah lebih banyak berbanding masa yang ada pada kita. Oleh kerana itu, setiap masa dan detik yang kita lalui seharusnya dipergunakan dengan sebaiknya agar kita tidak lagi dipersoalkan di hari akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan