Hasil nukilan penulis Utusan Malaysia, Zulkifli Nordin
MESIR sememangnya destinasi yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Terdapat ribuan rakyat negara ini berada di bumi anbia tersebut untuk menuntut ilmu.
Pengalaman mengikuti lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kaherah baru-baru ini, memberi ruang kepada penulis untuk mengenali negara yang terkenal dengan kisah Firaun itu lebih dekat.
Masa yang terluang digunakan sepenuhnya bersama rakan-rakan wartawan lain untuk mengunjungi beberapa tempat menarik di negara yang turut dilanda fenomena Arab Spring dua tahun lalu yang menyaksikan tersungkurnya Hosni Mubarak dari kerusi kepresidenan yang dikuasainya sejak 30 tahun lalu.
Sudah pastilah lokasi pertama kami adalah Dataran Tahrir iaitu lokasi yang memungkinkan wajah politik Mesir berubah dua tahun lalu. Kehadiran kami disambut dengan sepanduk tertulis perkataan mengecam Mohamed Morsi.
Sebenarnya, tulisan seumpama itu sudah diduga memandangkan sememangnya menjadi tabiat kelompok yang baru menikmati erti kebebasan, mereka mahu segala tuntutan dilaksanakan dalam tempoh singkat.
Tidak mengapalah itu hak mereka, tetapi ketika lawatan ke situ, penulis menyaksikan Dataran Tahrir menjadi lokasi penunjuk-penunjuk perasaan berkhemah. Ada antaranya sudah berbulan-bulan berada di situ.
''Kami akan terus berada di sini, selagi tuntutan yang dibuat melalui revolusi rakyat dua tahun lalu tidak dipenuhi oleh pemerintah sedia ada,'' kata seorang penunjuk perasaan yang sudah dua bulan berkhemah di Dataran Tahrir.
Dataran bersejarah itu terletak berhampiran muzium Mesir yang memaparkan ribuan patung zaman Firaun. Untuk masuk ke muzium itu, pelancong dikenakan bayaran RM30 dan kamera tidak dibenarkan dibawa bersama.
Tetapi apa yang menimbulkan keanehan kepada penulis, peraturan itu seolah-olah hanya terpakai kepada pelancong dari Asia sahaja sedangkan ada pelancong Eropah dibiarkan sahaja merakamkan gambar dalam muzium tersebut.
Penulis diberitahu, bangunan muzium yang kami lawati itu hanya menempatkan patung-patung, kalau mahu melihat mumia kami perlu mengunjungi satu lagi ruangan dalam bangunan yang sama dengan bayaran RM50.
SungaiSelepas muzium ketika perjalanan ke Dataran Tahrir, kita juga boleh menyusuri Sungai Nil yang turut menjadi tumpuan pelancong. Ada bot yang disediakan untuk pelancong menyusuri sungai berkenaan dan kalau bernasib baik bolehlah menyaksikan pertunjukan percuma kerana ada gadis-gadis Arab tanpa segan silu menari gelek di hadapan anda sepanjang perjalanan.
Oleh kerana ramai berkata tidak lengkap ke Mesir kalau tidak melihat Piramid, maka penulis dan rakan-rakan turut mengunjungi piramid Giza, Sphinx, Kuil Luxor dan sebagainya.
Sebenarnya bagi mereka tidak berjiwa seni, piramid yang tersergam di hadapan mata tidak ada apa-apa keistimewaannya. Namun bagi yang mahu mengkaji, sudah pasti ia dianggap satu binaan manusia yang menakjubkan.
Mungkin kerana keistimewaan itulah, Firaun menjadi angkuh dan menderhaka kepada Allah SWT. Di kawasan piramid ini, pelancong harus banyak bersabar.
Paling ketara untuk melayan kerenah kelompok yang menawarkan perkhidmatan menunggang unta mengelilingi kawasan tersebut. Pelbagai helah mereka lakukan, malahan ramai juga pelancong yang terpedaya apabila dikenakan bayaran hanya untuk bergambar dengan unta di situ.
Menurut cerita, ketika revolusi tercetus dua tahun lalu, kawasan piramid langsung tidak dikunjungi oleh pelancong menyebabkan peniaga di situ mengalami kerugian yang amat teruk.
Kesempatan itu diambil oleh pihak tertentu untuk mengupah pengusaha yang menawarkan perkhidmatan unta dan kuda di kawasan piramid melakukan rusuhan di Dataran Tahrir.
Mereka menyerang penunjuk-penunjuk perasaan kerana menganggap puak berkenaan bertanggungjawab menyebabkan rezeki mereka terjejas.
Turut boleh dikunjungi oleh pelancong khususnya umat Islam adalah makam Imam Shafie. Makam yang terletak di pinggir bandar Kaherah ini dikatakan turut menempatkan kesan tapak kaki Rasulullah SAW.
Sama ada ia benar atau tidak, hanya Allah Maha Mengetahui tetapi apa yang pasti kesan tapak kaki itu dapat dilihat dengan jelas di salah satu sudut makam tersebut.
Sememangnya Mesir mempunyai banyak tempat menarik untuk dikunjungi tetapi dalam masa sama, negara itu juga menghadapi masalah kekotoran yang kronik.
Di mana-mana sahaja sampah-sarap boleh dilihat dicampak merata-rata, namun ia tetap tidak akan boleh menggugat hasrat pelancong yang ingin mengetahui sejarah Mesir purba dan menyaksikan keindahan Sungai Nil dan Terusan Suez yang mengagumkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan