Tiada kata yang mampu menggambarkan kesedihan dan kekesalan rasa. Jiwa manakah yang begitu kejam hingga bayi yang tidak berdosa diperlakukan sedemikian rupa. Semoga Allah akan memberi hidayah kepada pelakunya untuk kembali ke jalan yang benar setelah melihat wajah anak yang dilahirkannya dalam keadaan sedemikian rupa.
Kejadian buang bayi di negara kita semakin hari semakin membimbangkan. Seingat saya, 10 atau 20 tahun dulu, kejadian buang bayi tidaklah sebegini berleluasa. Tetapi nampaknya statistik ini telah meningkat dengan begitu mendadak dalam tempoh kebelakangan ini. Sesuatu harus dilakukan bagi membendung dan menghentikan tragedi ini sebelum ia semakin berleluasa.
Buang bayi adalah manifestasi dari perbuatan zina yang berlaku antara lelaki dan perempuan. Justeru, untuk membendung permasalahan ini, pintu-pintu yang mendorong kepada perlakuan zina haruslah ditutup dengan serapat-rapatnya. Allah telah menyebutkan di dalam al-Quran bahawa zina adalah perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan.
FirmanNya: "Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Al Israa:17)
Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita adalah antara pintu utama yang mendorong kepada perlakuan zina. Percampuran yang dilakukan tanpa mematuhi adab-adab syariat akan mendorong kepada perasaan cinta antara lelaki dan wanita yang akhirnya jika tidak diikat dengan ikatan perkahwinan akan menghasilkan pelbagai masalah sosial. Buang bayi adalah simptom yang paling kritikal kepada masalah ini.
Selain itu pengaruh daripada filem-filem, rancangan televisyen, lagu-lagu cinta, majalah, novel dan pelbagai lagi medium yang tidak berlandaskan syariat Islam menyemarakkan lagi gelora nafsu remaja hari ini dalam perlakuan cinta terlarang.
Zaman teknologi ini juga menyaksikan pengaruh globalisasi dan teknologi yang begitu hebat sekali. Remaja hari ini lebih terdedah kepada pengaruh-pengaruh kuning, terutamanya dari Internet di mana bahan-bahan lucah dan separa lucah yang mengghairahkan begitu mudah untuk dicapai.
Banyak sekali punca yang menyebabkan berlakunya masalah buang bayi ini. Pergaulan bebas adalah antara punca yang paling utama. Jika kita serius untuk menangani masalah ini, maka setiap dari kita harus bertindak dengan bersungguh-sungguh. Tidak guna kita mengalirkan air mata kecewa tanpa ada tindakan konkrit yang dilakukan.
Semua pihak tidak kira status dan pangkat harus bekerjasama dalam menangani masalah ini. Pihak kerajaan, media, karyawan, guru-guru dan ibu bapa harus berusaha untuk membendung masalah pergaulan bebas ini.
Kurangkan filem-filem yang bertemakan pergaulan bebas, lagu-lagu cinta yang mengkhayalkan di samping mengawal pergaulan antara lelaki dan wanita remaja dalam setiap program yang dianjurkan.
Ibu bapa juga harus lebih serius dalam mendidik anak-anak dan menanamkan nilai-nilai beragama, takutkan Allah supaya anak-anak lebih dekat dan dalam jiwanya dengan agama.
Terdapat 1001 langkah yang boleh kita sama-sama fikirkan dan laksanakan. Namun jika kita hanya bersedih dan berpeluk tubuh hari ini, esok atau mungkin satu hari nanti anak cucu kita yang akan jadi mangsanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan