terus ditindas
Malangnya, dalam keterbukaan itu, berlaku cubaan-cubaan untuk menjadikan masjid dan surau sebagai ‘gelanggang berpolitik’. Natijahnya, berlakunya label melabel dan berpuak-puak yang akhirnya menyebabkan masjid yang antara fungsinya untuk menyatukan umat bertukar kepada tempat bermasam muka dan perpecahan. Sedangkan Allah menegaskan supaya umat Islam bersatu-padu dan jangan berpecah-belah.
Ia sebagaimana firman Allah yang maksud-Nya: Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan nikmat-Nya kamu menjadi bersaudara, sedangkan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. (ali-‘Imran: 103)
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ZHAFARAN NASIB menemu bual Pengerusi Rancangan Pengajian Islam, Fakulti Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Mohd. Farid Mohd. Sharif bagi mengupas isu ini.
Mega: Dalam al-Quran di atas Allah menjelaskan kepentingan jangan berpecah-belah. Malangnya, akhir-akhir ini, umat Islam dilihat sudah berpecah akibat perbezaan ideologi politik. Apakah natijahnya jika hal ini berlarutan?
DR. FARID: Kepentingan perpaduan umat Islam jelas dapat dilihat menerusi firman Allah dalam surah ali-‘Imran tadi.
‘Nikmat’ yang dimaksudkan oleh Allah menerusi ayat tersebut ialah Islam. Allah menyebut Islam itu sebagai nikmat yang membuatkan manusia itu bersaudara dan bersatu padu.
Oleh itu, menolak atau merosakkan perpaduan boleh dianggap seperti menolak rahmat Allah. Allah telah menjanjikan kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan akhirat kepada mereka yang mementingkan ikatan persaudaraan dan menjauhkan persengketaan.
Sejarah perpecahan umat Islam bermula sejak awal lagi, iaitu pada tahun 37 Hijrah, dalam Perang Siffin, perang saudara yang pertama dalam sejarah umat Islam, antara kumpulan Ali dengan kumpulan Muawiyah.
Konflik ini timbul bukan berpunca daripada soal agama tetapi disebabkan kepentingan politik, rebutan kuasa dan perkauman. Oleh itu, saya berpendapat selagi umat Islam berbeza daripada sudut pemikiran dan ideologi, selagi itulah akan ada konflik antara mereka.
Lagi satu saya ingin jelaskan bahawa dalam masyarakat itu sendiri ramai antara mereka terdiri daripada orang yang kecewa. Antaranya ada dalam kalangan mereka yang kecewa dalam politik, kecewa kerana tidak naik pangkat, kecewa kerana tidak berkahwin atau tidak bertemu jodoh yang sesuai dan sebagainya.
Mereka ini kemudiannya akan mewujudkan kumpulan, persatuan atau parti politik dan melahirkan kekecewaan terhadap realiti yang mereka lalui.
Kita semua sudah sedia maklum bahawa antara kesan yang akan timbul daripada perpecahan ini ialah umat Islam akan hilang jati diri dan maruah. Ramai pemikir Islam telah melahirkan kebimbangan ini, antaranya ialah Malik ben Nabi.
Beliau berkata umat Islam mestilah menjadi seperti air yang bertakung di atas tanah tinggi dan mampu mengalirkannya ke tanah rendah. Kerana air yang berada di bawah tidak akan sesekali mengalir ke atas.
Kebimbangan yang sama juga telah dinyatakan oleh Shakib Arsalan dan Sheikh Ali al-Nadwi. Perpecahan umat Islam akibat perbezaan dan ideologi politik menjadi salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan umat Islam.
Lebih menyedihkan, masjid yang sepatutnya menjadi lokasi penyatuan ummah turut terkena tempias perpecahan ini. Menyebabkan ada pihak yang tidak lagi mahu berjemaah di masjid. Apa pandangan Islam tentang hal ini?
DR. FARID: Apabila orang bukan Islam bertanya kepada saya, “Apakah maksud orang Islam”, jawapan saya yang mudah, orang Islam itu ialah orang yang percaya kepada Allah yang satu, al-Quran yang satu, nabi yang seorang iaitu Muhammad SAW.
Perpaduan umat Islam lahir daripada kepercayaan yang sama ini berasaskan kepada tauhid. Walau di mana mereka berada sekalipun, tidak semestinya hanya di masjid, bahkan di tempat kerja, atau di padang rekreasi, orang Islam tetap dikatakan bersaudara.
Memang benar masjid itu menjadi tempat terbaik untuk umat Islam menyemai konsep tauhid ini. Masjid adalah milik umat Islam secara berjemaah, tidak sepatutnya menjadi harta milik individu atau puak tertentu.
Orang yang pergi ke masjid niatnya mahu mencari ketenangan dan kekhusyukan, tetapi jika ketenangan yang dicari-cari itu tidak ditemui di masjid, kerana wujudnya gangguan atau tindakan yang tidak sewajarnya, maka orang itu akan berpendapat apa perlu lagi dia ke masjid.
Hal inilah kadangkala yang menjadi faktor kenapa sesetengah masjid tidak begitu digemari oleh orang ramai.
Disiku jemaah Pakistan
Sebagai contoh, saya teringat suatu peristiwa. Pada suatu hari, seorang pelajar Malaysia di London telah singgah di sebuah masjid ‘orang Pakistan’ untuk solat Jumaat.
Dia nyaris-nyaris tumbang kerana disinggung oleh orang di sebelahnya. Setiap kali imam selesai membaca surah al-Fatihah, pelajar Malaysia itu mengulanginya dengan suara yang rendah, tetapi agaknya terdengar oleh orang di kirinya.
Jadi, dua kalilah orang di sebelah menyiku pelajar Malaysia itu, kali kedua lebih kuat daripada yang pertama. Solatnya tidak khusyuk kerana perbuatan orang Pakistan itu.
Selepas solat, pelajar Malaysia itu bertanya kepada orang Pakistan itu kenapa dia disiku ketika sedang bersolat. Orang Pakistan itu menjawab bahawa menurut mazhabnya, para jemaah tidak perlu atau tidak boleh mengulangi bacaan al-Fatihah.
Bila cerita ini tersebar, orang Malaysia takut hendak bersolat di masjid itu, takut kena siku dan kena leter jika tidak mengikuti cara mereka.
Ada yang berhujah, pada zaman nabi politik dibenarkan di masjid. Maka, sekarang pun tidak ada halangan berpolitik di masjid. Soalnya, politik bagaimana yang dibolehkan dalam Islam?
DR. FARID: Secara umumnya, penyatuan ummah dapat dilihat daripada dua dimensi.
Pertama, penyatuan luaran iaitu kerukunan muafakat, memperkemas keadaan politik negara demi kepentingan masyarakat secara kolektif.
Kedua, penyatuan dalaman yang lahir dalam bentuk ikatan kejiwaan dan kerohanian.
Maksud penyatuan ummah mengikut dimensi pertama adalah merujuk kepada kerukunan politik kerana masing-masing berkongsi kepentingan umum seperti menetap dan bekerja di negara yang sama.
Jika dibandingkan antara satu negeri dengan negeri yang lain, ia adalah perpaduan sosial sesebuah masyarakat yang sama dari segi penghayatan agamanya walaupun berbeza warna kulit, budaya dan loghat pertuturannya.
Usaha untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam oleh ahli-ahli politik dalam negara ini merupakan satu aktiviti yang baik dan sangat dialu-alukan.
Namun begitu, kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin.
Satu perkara lagi yang ingin saya jelaskan ialah kita perlu membezakan antara maksud ‘berbincang tentang politik’ dengan ‘berpolitik’ dalam masjid. Jika berbincang tentang politik di masjid, saya fikir hal itu tiada salahnya.
Memang benar inilah antara aktiviti yang dijalankan di masjid pada zaman nabi. Sebagai contoh, berbincang atau berdebat tentang isu pendidikan negara, isu kenaikan cukai, isu kenaikan harga barang, isu pendatang asing dan lain-lain. Semua isu ini memang berkaitan dengan politik dan boleh diperdebatkan di dalam masjid.
Tujuannya untuk memberi kefahaman kepada anggota masjid yang lain dan menyalurkan maklumat penting berkaitan negara. Hal yang menjadi masalah jika mereka ‘berpolitik’ dalam masjid.
Maksud ‘berpolitik’ di sini adalah berkempen politik iaitu berkempen untuk menaikkan imej sesuatu pihak dan menjatuhkan imej satu pihak yang lain.
Tentulah dalam berkempen politik ini ada pihak yang akan menggunakan cara atau kaedah yang kurang wajar seperti membuka aib atau keburukan pihak lain, melakukan fitnah dan mengumpat.
Saya berpendapat bahawa cara ‘berpolitik’ dalam masjid seperti inilah jika tidak dibendung akan mendorong berlakunya perpecahan dalam masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan