Soalan:
DAHULU, ayah saya bekerja sebagai pemandu pelancong di mana dia membawa pelancong untuk ke kedai yang menjual arak. Daripada situ, dia diberi komisen RM20 oleh tuan kedai.
Duit yang dibawa balik pada asalnya disimpan, tetapi kesilapan berlaku apabila ibu saya terambil duit tersebut dan membuka akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bolehkah saya hanya berniat dan menggantikan duit komisen tadi dengan menderma sejumlah wang yang sama atau lebih dan mengekalkan akaun ASB sedia ada hasil pembukaan akaun daripada duit komisen tadi.
Jawapan:
Persoalan yang berkaitan dengan pelaburan bersumberkan pendapatan yang haram perlu kepada penjelasan yang lanjut daripada pelabur itu sendiri.
Ada beberapa perkara yang tidak jelas dalam soalan saudara. Antaranya, sudah berapa lama duit itu dilaburkan dan ada percampuran atau tidak dengan nilai yang asal?
Sekiranya ibu saudara melaburkan duit itu untuk tempoh lima tahun dengan berasaskan pelaburan yang jumlahnya RM20 maka keseluruhan hasil dari pelaburan itu adalah haram.
Ini kerana punca pelaburan itu adalah daripada sumber yang haram. Baginda SAW bersabda daripada Abu al-Nu'man bin Bashir r.a yang bermaksud:
Sesungguhnya yang halal itu adalah jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram juga jelas… (riwayat al-Bukhari, no: 52, dan Muslim no: 1599).
Berbalik kepada soalan di atas, bukan sahaja modal pelaburan itu dikira haram malah keuntungan dari pelaburan juga haram, kedua-duanya (modal dan keuntungan) adalah haram.
Setiap sumber yang haram maka hasil daripadanya juga haram. Apa yang perlu saudara buat adalah keluarkan semua duit yang bersumberkan haram iaitu modal dan keuntungan pelaburannya kemudian guna untuk pembinaan keperluan orang awam.
Contohnya membaik pulih jalan, membaiki jambatan, membina wakaf dan sebagainya yang mana kelak pembangunan tersebut akan digunakan oleh orang ramai bagi keperluan masing-masing.
Isunya bukan menutup akaun tetapi bagaimana duit modal dan keuntungan dikeluarkan terus daripada akaun pelaburan. Biar banyak mana sekalipun pelaburan tersebut, saudara kata RM20, mungkin juga ada yang melabur lebih daripada itu.
Maka mengikut syariah kesemuanya itu hendaklah dilupuskan. Sama ada dikembalikan keuntungan itu kepada syarikat yang menguruskan pelaburan itu atau digunakan untuk pembinaan tempat-tempat keperluan awam.
Banyak mana sekalipun duit itu tidak boleh dimanfaatkan untuk kegunaan peribadi, lebih-lebih lagi makan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan