Bakal-bakal haji perlu memahami keadaan di Tanah Suci kerana berbeza dengan persekitaran di negara kita. Hawanya berdebu dan kering berbanding dengan keadaan cuaca di Malaysia yang lembap.
Perbezaan paling ketara adalah perubahan cuaca yang sangat ekstrem antara malam dan siang. Suhu waktu siang adalah lebih 30darjag celsius dan pada waktu malam serendah 18 darjah celsius.
Suhu sejuk dan keadaan berdebu mendedahkan jemaah kepada jangkitan saluran pernafasan. Sebab itu mereka dinasihat menyemak keadaan suhu di media massa sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Pada musim haji kali ini, ia dijangka bertembung dengan musim panas. Maka bakal jemaah diingatkan jangan berjemur di tengah panas dan perlu minum banyak air serta tidak berpakaian tebal di waktu siang.
Lagi pula ibadah haji itu sendiri memerlukan kekuatan fizikal untuk melakukan saie, tawaf dan melontar. Jemaah terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut selain perlu bermalam di Arafah, Mina dan Mudzalifah dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas. Pasa masa sama mereka perlu berjalan untuk ibadah melontar empat hari berturut-turut.
Jemaah juga terpaksa berulang-alik ke masjid yang jaraknya dengan tempat penginapan adalah antara 50 meter ke 700 meter. Ringkasnya jemaah haji memerlukan kekuatan fizikal sama ada untuk menunaikan ibadah atau urusan peribadi ketika di Tanah Suci.
Disebabkan bilangan jemaah yang ramai, maka masa untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu lebih panjang. Jemaah yang ramai itu juga banyak masalah kesihatan disebabkan virus atau bakteria yang dibawa oleh jemaah negara lain.
Kepentingan kesihatan
Lulus pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor merupakan salah satu dari peraturan haji kerajaan Arab Saudi sebelum visa haji diluluskan.
Pemeriksaan kesihatan yang sempurna bagi melakukan pengesanan awal dan memastikan jemaah yang mengidap penyakit tertentu mendapat rawatan yang sepatutnya sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Pada masa ini, semua bakal jemaah telah lulus pemeriksaan kesihatan. Semua perihal kesihatan telah dicatit di dalam Buku Rekod Rawatan (BRR) yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
Pastikan buku rekod rawatan lengkap diisi oleh doktor dan segala tambahan atau perubahan dos ubat-ubatan dicatatkan.
Ini penting kerana hanya buku itu yang menjadi penghubung antara doktor di Malaysia dan doktor yang bertugas di tanah suci.
Jika buku itu tidak mempunyai maklumat lengkap maka doktor yang bertugas di Tanah Suci akan menghadapi kesulitan dalam memberi rawatan terbaik.
Buku rekod rawatan hendaklah sentiasa berada dalam beg galas jemaah dan sentiasa di bawa bersama-sama di Tanah Suci.
Jemaah dinasihat membawa bekalan ubat yang mencukupi sepanjang musim haji. Walaupun rombongan perubatan TH turut membawa bekalan ubatan, mungkin ada ubat yang tiada dalam senarai. Bagi bakal jemaah haji yang memerlukan ubat khas dari doktor pakar swasta atau Institut Jantung Negara, ia hendaklah dibawa secukupnya.
Vaksinasi
Vaksinasi boleh membantu menyediakan ketahanan badan terhadap penyakit. Untuk bakal jemaah, vaksinasi yang diwajibkan adalah vaksinasi meningococcal.
Ia untuk ketahanan badan terhadap jangkitan selaput otak. Vaksinasi pilihan yang digalakkan adalah untuk influenza dan pneumococcal untuk ketahanan badan terhadap jangkitan paru-paru.
Vaksinasi wajib
Pada musim haji 1987 (1407 Hijrah), musim haji 2000 dan 2001, wabak penyakit meningitis berlaku di Tanah Suci. Berikutan itu, kerajaan Arab Saudi mewajibkan vaksinasi meninggococcal (suntikan vaksin Quadrivalent meningokokus ACWY-135) kepada semua jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Tanpa suntikan itu, pihak Arab Saudi tidak membenarkan jemaah haji masuk ke Tanah Suci. Vaksinasi ini akan beri perlindungan ketahanan imuniti selama dua hingga tiga tahun.
Vaksinasi pilihan
Kedua-dua suntikan itu adalah pilihan yang boleh didapati di klinik-klinik swasta. Ia bagi memberi perlindungan imuniti untuk tempoh setahun.
Mereka yang digalakkan mendapat vaksinasi pilihan adalah:
l Jemaah yang berumur 65 tahun ke atas.
l Pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, diabetes dan sakit paru-paru.
l Pesakit yang mempunyai ketahanan badan yang rendah.
Vaksinasi yang diambil juga mesti dicatit dalam buku rekod rawatan kerana tanpa vaksinasi wajib iaitu vaksinasi meningococcal, jemaah tidak dibenarkan masuk ke tanah suci.
Penyakit sering dihidapi
Oleh kerana perubahan suasana, suhu dan aktiviti di Tanah Suci seperti hawa yang panas dan berdebu, kesesakan tempat tinggal dan tempat ibadat dan keletihan badan, maka jemaah sering menghidap penyakit ringan seperti:
l Batuk dan demam selsema. Pada kebiasaannya hampir 90 peratus dari jemaah haji menghidap batuk. Mereka perlulah mendapat rehat yang cukup. Banyakkan minum air, tiha ke empat liter sehari terutama selepas menggunakan tenaga berlebihan dan penting bagi mereka mendapatkan rawatan awal dari klinik sebelum keadaan bertambah teruk.
l Pecah-pecah kulit, tumit dan bibir (khususnya di Madinah). Cara mengatasinya adalah dengan menyapu krim pelembap sejurus berada di Tanah Suci untuk mengelakkan kulit dan bibir pecah. Keadaan cuaca yang kering menyebabkan kulit, bibir dan tumit pecah. Kurangkan penggunaan sabun mandi untuk mengelakkan kekeringan kulit dan jangan berjalan tanpa alas kaki. Lain-lain penyakit ringan adalah sakit kerongkong, hidung berdarah, sembelit dan cirit-birit..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan