Defrim yang merupakan penuntut di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) mengakui walaupun mempunyai persepsi negatif pada awalnya terhadap sambutan raya yang diamalkan di Malaysia, namun tanggapannya tidak tepat sama sekali.
Selepas empat tahun berturut-turut menyambut perayaan Aidilfitri di Malaysia, Defrim yang berasal daripada Albania turut tertarik dengan kemeriahan sambutan hari raya di negara ini yang tiada di negara kelahirannya.
Pelajar tahun tiga, Fakulti Undang-undang itu juga mendakwa sambutan raya di Malaysia merupakan tradisi yang terbaik berbanding beberapa negara yang pernah dikunjunginya sebelum ini.
"Sepanjang pengalaman saya melanjutkan pelajaran di beberapa negara lain sebelum ini, saya berpeluang merasai sambutan raya Aidilfitri di negara tersebut. Pada pendapat saya, saya merasa kagum melihat keunikan tradisi Aidilfitri di Malaysia yang lebih meriah.
"Walaupun pada awalnya saya berasakan ia agak keterlaluan dan tidak sepatutnya Aidilfitri disambut dengan terlalu bersuka ria dan menjamah makanan yang banyak serta amalan memberi duit raya yang boleh menyebabkan pembaziran.
"Tetapi di sebalik itu, ia sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri. Apa yang lebih membanggakan saya adalah ketika ingin menunaikan solat sunat Aidilfitri.
"Saya melihat semua umat Islam di Malaysia tidak kira bangsa, peringkat umur dan lapisan masyarakat berkumpul dalam satu masjid bersama. Mereka juga saling bersalaman selepas selesai solat," katanya yang rasa bertuah kerana berpeluang menyambung pelajaran di Malaysia kepada pemberita baru-baru ini.
Tahun ini merupakan tahun ke tujuh Defrim menyambut perayaan tanpa ibu bapanya malah jauh dari negara kelahirannya.
Baginya, sudah menjadi perkara biasa menyambut raya Aidilfitri tanpa bersama keluarga kerana sejak kecil lagi dia jarang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
"Sejak daripada kecil lagi, saya memang hidup berjauhan dengan keluarga. Pada peringkat sekolah rendah dan menengah, ayah dan emak menghantar saya ke sekolah yang berjauhan daripada daerah kediaman kami.
"Selepas tamat sekolah pula, saya menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di luar negara dan saya tidak akan pulang ke rumah selagi belum tamat pengajian.
"Sehingga menjadi terbiasa dengan keadaan itu. Bagi saya ini adalah normal, tetapi boleh menambah pengalaman serta pendedahan saya kepada kepelbagaian amalan budaya Islam di dunia ini," katanya.
Selain itu Defrim berkata, dia turut dapat merasai nikmat sambutan Aidilfitri di Malaysia yang akan disambut seperti tahun lalu bersama rakan-rakan daripada luar negara.
Sementara itu, bagi Suriya Akhtar, 19, merasai satu kelainan menyambut perayaan di Malaysia berbanding dengan negara kelahirannya.
Gadis dari Dhaka, Bangladesh itu berharap sambutan hari raya pertamanya itu di perantauan dapat memberikan erti kehidupan sebenar kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga.
Pelajar Universiti Antarabangsa Al-Bukhary itu bercadang akan menyambut hari raya bersama pakcik dan makciknya yang juga menuntut di Malaysia.
"Ini merupakan kali pertama saya keluar daripada negara kelahiran saya dan Malaysia menjadi lokasi pertama itu untuk saya mendapatkan ilmu. Ia juga menjadi pengalaman pertama saya menyambut hari raya berjauhan daripada keluarga.
"Pastinya saya merasai kelainan terhadap sambutan raya di negara ini berbanding di Bangladesh. Bagaimanapun saya berharap dengan menyambut hari raya jauh daripada keluarga dapat meningkatkan lagi perasaan rindu dan kasih kepada keluarga," katanya.
Anak kedua daripada empat adik beradik itu turut mengakui gembira dapat beraya di Malaysia kerana dapat menyambutnya bersama rakan-rakan dari luar negara yang lain dan berkongsi kegembiraan bersama mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan