SURAH ini termasuk surah Madaniyah dengan ijmak ulama. Mengikut hadis Ibn Abbas bahawa ia termasuk surah yang terakhir diturunkan secara keseluruhannya. Surah ini mengandungi tiga ayat yang diturunkan selepas surah al-Taubah.
Hubungan surah ini dengan surah dengan al-Kafirun
Setelah Allah SWT menyebutkan di dalam surah terdahulu perbezaan agama rasul yang didakwahkannya dengan agama orang kafir, maka dalam surah ini dinyatakan bahawa agama mereka itu akan terlepas dan lenyap serta agama yang diajarkannya akan menang.
Seterusnya menjadi agama yang dipeluk oleh majoriti penduduk dunia.
Ada dua pendapat berkenaan dengan kemenangan:
i. Kemenangan Rasul terhadap orang Quraisy. Inilah pendapat al-Tabari.
ii. Kemenangan Rasul terhadap musuh-musuhnya.
Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata: "Maksud kemenangan dalam surah ini ialah menakluk Mekah dan inilah pendapat yang rajih."
Kabilah-kabilah Arab memang menantikan kemenangan Rasulullah SAW untuk memudahkan mereka memeluk Islam.
Mereka berkata: "Jika dia (Muhammad) dapat menundukkan kaumnya, maka itulah tanda seorang Nabi. Oleh yang demikian, apabila Allah SWT memberi kemenangan, maka mereka semua memeluk agama Islam sepuak demi sepuak."
Tidak sampai dua tahun, seluruh Semenanjung Arab beriman kepada Allah SWT. Tiada kabilah Arab melainkan semuanya mengisytiharkan keislaman mereka.
Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dalam Sahihnya dari 'Amr Ibn Salamah katanya: "Sebaik sahaja tertakluknya Mekah, setiap kaum segera menemui Rasulullah SAW untuk menyatakan keislaman mereka."
Riwayat ini sesuai dengan keterangan surah yang memberi isyarat satu peristiwa akan berlaku selepas turunnya ayat ini dan mengarahkan Nabi SAW bertasbih, bertahmid, dan beristighfar apabila mendapat khabar gembira yang sahih.
Firman Allah SWT: Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.
Sayid Qutub berkata: "Iaitu pertolongan dan kemenangan itu adalah datang dari Allah pada masa yang ditentukannya dan dalam bentuk yang dikehendaki-Nya, sedangkan Nabi dan para sahabatnya tidak mempunyai apa-apa peranan dalam kemenangan itu. Ia merupakan urusan Allah semata-mata yang dilaksanakannya dengan mereka atau tanpa mereka."
Cukuplah Allah melaksanakan kemenangan urusan agama-Nya melalui mereka dan melantik mereka selaku pengawal dan pemegang amanah agama-Nya. Inilah keseluruhan peranan mereka dalam mencapai kemenangan dan dalam sambutan orang ramai menerima agama Allah.
Oleh kerana itu, dalam menghadapi penghormatan Allah yang merealisasikan kemenangan itu, mereka berkewajipan bertasbih, bertahmid dan beristighfar.
Satu penegasan yang dikemukakan oleh Jabir bin Abdillah katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya manusia masuk kepada agama Allah secara ramai-ramai dan akan keluar secara ramai-ramai juga."
Memuji Allah
Firman Allah SWT: Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya dia adalah Maha Penerima taubat.
Perkataan tasbih pada ayat ini mempunyai dua pendapat:
i. Solat, seperti pendapat Ibn Abbas.
ii. Tasbih yang makruf, sebagaimana pendapat ramai di kalangan ahli tafsir.
Al-Maraghi berkata: "Ketika hal itu semuanya telah sempurna, maka suci dan kuduskanlah Dia daripada mengabaikan kebenaran, dengan membiarkan kebatilan menguasainya, menyalahi janji-Nya yang telah dijanjikan kepadamu."
Maksudnya, menjadikan ajaranmu mulia, menjadikan orang kafir kalah dan menyempurnakan nikmat-Nya atasmu sekalipun orang kafir membenci.
Hendaklah menyucikan Allah SWT itu dengan memuji-Nya kerana pelbagai nikmat yang telah diberikan, kerana kebaikan yang telah dianugerahkan. Hendaklah memuji-Nya kerana Allah SWT berhak dipuji kerana Dialah Zat Yang Maha Kuasa lagi tidak dapat dikalahkan oleh sesiapapun. Maha Bijaksana yang jika sekiranya menangguhkan hukuman orang kafir, tetapi tidak mensesiakan pahala orang yang beramal soleh.
Mohonlah keampunan untuk dirimu dan sahabat-sahabat yang mengikutmu, yang berada dalam kegelisahan, bingung, sedih serta putus asa kerana beranggapan bahawa pertolongan Allah SWT itu terlambat.
Bertaubat daripada kebingungan dilakukan dengan menyempurnakan keyakinan atas kebenaran janji Allah SWT, mengalahkan rasa bimbang yang timbul akibat pelbagai bencana sekalipun hal ini amat berat bagi manusia.
Namun, Allah SWT Maha Mengetahui bahawa jiwa Rasul-Nya telah mencapai kesempurnaan itu sehingga Dia memerintahkannya berbuat begitu. Demikian pula halnya dengan orang yang berjiwa sempurna antara para sahabat Baginda dan para pengikutnya Allah SWT Maha Menerima taubat mereka.
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Menerima taubat hamba-Nya kerana Dia mendidik jiwa manusia dengan pelbagai cubaan. Jika jiwa itu lemah, maka digagahkan juga untuk mencari kekuatan, dikuatkan kemahuannya dengan janji yang baik. Hal seperti ini berterusan sehingga jiwa manusia mencapai darjat kesempurnaan.
Apabila kemenangan telah tercapai dan telah terbukti pertolongan, manusia pula bersedia menerima kebenaran agama, maka rasa takut akan hilang. Oleh itu, engkau wajib bertasbih dan bersyukur kepada-Nya, menghilangkan kebimbangan yang berlaku pada saat kesulitan dan penuh dengan penderitaan.
Akhirnya, penderitaan itu tidak lagi mengganggu jiwa para hamba Allah SWT yang ikhlas, ketika mereka telah bertambah banyak bilangannya, keikhlasan mendasari kehidupan mereka dan hati mereka disatukan.
Sesudah diturunkan ayat ini, Baginda hidup selama 21 hari. Semoga Allah SWT memberikan kerahmatan dan keselamatan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabatnya yang berhijrah, berjuang dan bersatu pada jalan Allah SWT.
Surah ini seperti pendapat ahli tafsir sebagai tanda ucapan selamat tinggal Rasulullah SAW kepada umatnya. Ia juga pemberitahuan bahawa ajalnya sudah hampir tiba.
Justeru, perintah untuk melakukan tasbih dan istighfar sebagai penutup usia semata-mata menambahkan lagi amal soleh. Kerana itulah Ibn Abbas berkata, apabila datang pertolongan Allah dan pembukaannya merupakan seruan daripada Allah dan selamat tinggal daripada dunia.
Semoga kita menjadi pengikut setia Rasulullah SAW dan melayakkannya berada di syurga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan