|
|
AHLI Jawatankuasa masjid dan surau disaran memperbanyakkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau masing-masing bagi meningkatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.
Ia selaras dengan firman Allah yang bermaksud: Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut kepada sesiapa pun selain Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk. (at-Taubah: 18)
Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Sakaran berkata, aktiviti tidak seharusnya tertumpu kepada kerohanian semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, ia perlu merangkumi pelbagai aktiviti termasuk kenduri sekampung, pameran makanan halal, ceramah kesihatan serta pameran sains.
Tambahnya, penganjuran aktiviti berkenaan perlu melibatkan semua lapisan masyarakat Islam yang terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.
"Selain itu, mereka juga boleh menjalin kerjasama pintar dengan agensi kerajaan serta pihak swasta untuk menganjurkan kegiatan yang memberi manfaat kepada penduduk setempat," katanya.
Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di negeri Sabah berkata demikian selepas melancarkan pameran Aktiviti 10 tahun dan kad pintar Masjid, di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.
Masjid berkenaan yang mula digunakan sejak 10 tahun lalu menjadi antara mercu tanda baharu kepada Kota Kinabalu, sekali gus menjadi tarikan kepada pelancong dalam dan luar negara.
Masjid ini selepas diubahsuai mempunyai ruang sembahyang tambahan dan kini ia mampu memuatkan 12,000 jemaah dalam satu-satu masa.
Masjid ini juga adalah satu-satunya masjid yang mempunyai tasik dan pusat pemeliharaan ikan air payau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan