Malaysia gagal ke akhir Piala Suzuki AFF 2012
KUALA LUMPUR 13 Dis. - Malaysia gagal mengulangi pencapaian 2010 apabila tewas
dalam perlawanan separuh akhir Piala Suzuki 2012 kepada Thailand dengan agregat 3-1
di Stadium Supachalasai, Bangkok.
Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil kedua-dua
pasukan terikat 1-1.
Thailand akan bertemu Singapura pada perlawanan akhir yang berlangsung Rabu
(Stadium Jalan Besar) dan Ahad ini (Stadium Supachalasai).
Norsharul Idlan Talaha diasak pemain Thailand, Piyaphon Buntao pada perlawanan Piala Suzuki AFF di Stadium Supachalasai, Bangkok malam tadi.
BANGKOK - Langkah Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF 2012 menemui titik noktah pada separuh
akhir kedua dengan pengadil dari Korea Selatan, Lee Minhu menjadi watak penting kepada kemenangan
2-0 Thailand di Stadium Supachalasai, malam tadi.
Kedua-dua jaringan Thailand diperoleh pada separuh masa kedua melalui penyerang berbisa Teerasil
Dangda pada minit ke-59 sebelum Theerathon Bunmathan menambah luka Harimau Malaya pada minit
ke-63.
Thailand layak ke perlawanan akhir berdepan Singapura melalui kemenangan secara agregat 3-1.
Di hadapan 20,000 penonton, Minhu jelas berat sebelah dengan memihak tuan rumah apabila tanpa
disangka melayangkan kad kuning kedua kepada Mohd. Fadhli Shas pada minit ke-43 tanpa kesalahan
yang munasabah.
Ini menyebabkan Harimau Malaya tempang apabila terpaksa berjuang dengan 10 pemain pada babak
kedua.
Tindakan pengadil Korea itu sama sekali tidak dapat diterima kerana insiden sebenarnya Fadhli menjadi
mangsa keadaan akibat provokasi Datsakorn Thonglao.
Apa yang menghairankan pembantu pengadil yang berada berdekatan dengan insiden Fadhli dan
Thonglao, langsung tidak memberikan penjelasan kepada Minhu, yang terus melayangkan kad kuning
kepada kedua-dua pemain itu.
Sikap berat sebelah pengadil Korea, Lee Minhu mula terserlah pada minit ketujuh lagi apabila dengan
mudah melayangkan kad kuning tanpa memberikan sebarang amaran lisan kepada pemain negara dan
Mohd. Fadhli Shas menjadi mangsa pertama.
Tujuh minit kemudian, giliran Mahalli Jasuli pula mengutip kad kuning sedangkan dua pemain negara,
Amar Rohidan dan Norshahrul Idlan Talaha jelas disiku oleh pemain Thailand sebaliknya pemain lawan
langsung tidak dikenakan sebarang tindakan.
Tuan rumah hampir berada di hadapan pada minit ke-30 apabila penjaring terbanyak mereka setakat ini, Teerasil Dangda berjaya melepaskan diri daripada kawalan pertahanan Harimau Malaya tetapi mujur sepakan
penyerang Muanthong United itu tersasar keluar.
Peluang terbaik negara mendapatkan jaringan di babak pertama hanyalah melalui sepakan percuma
Safiq Rahim pada penghujung perlawanan, yang mudah diselamatkan oleh Kawin Thamsatchanan.
Tanpa Fadhli, persembahan skuad negara ternyata terjejas dan lebih banyak bertahan pada babak kedua.
Keputusan Datuk K. Rajagobal yang meletakkan Amar pada bahagian pertahanan tengah menggantikan
tempat Fadhli juga dilihat satu kesilapan apabila dia menjadi punca kepada gol pertama Thailand.
Kesilapan Amar yang gagal mengawal bola dengan baik membuka laluan kepada Teerasil berlari secara
solo sebelum mudah menewaskan Farizal.
Empat minit kemudian, akibat keadaan kelam kabut di depan pintu gol, Theerathon menyepak masuk bagi jaringan kedua tuan rumah.
Pujian harus diberikan kepada Farizal Marlias kerana jika tidak disebabkan ketangkasannya, Malaysia
sudah pasti menjadi mangsa dibelasah Thailand apabila menafikan sekurang-kurangnya lima percubaan
berbahaya tuan rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan